Close

Program Tanggungjawab Sosial Korporat DPMS

DPMS Hulur Sumbangan Buat Petugas Frontliners

COVID-19: DE PALMA MANAGEMENT SERVICES SDN BHD (DPMS) HULUR SUMBANGAN BUAT PETUGAS ‘FRONTLINERS’ KE BEBERAPA HOSPITAL DI SELANGOR

SHAH ALAM, 26 Mac 2020 – Komitmen tinggi petugas barisan hadapan (frontliners) berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 ternyata menyentuh hati ramai pihak dan mendapat perhatian daripada seluruh rakyat Malaysia umumnya. Keringat, masa dan usaha yang mereka curahkan tidak terhingga demi mengekang penularan wabak ini daripada terus merebak.

Sebagai tanda sokongan dan terima kasih, De Palma Management Services Sdn Bhd (DPMS) yang merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Rangkaian Hotel De Palma berbesar hati untuk menyumbangkan sejumlah 400 pek makan tengahari yang diagihkan kepada beberapa buah hospital di Selangor sebagai tanda penghargaan kepada petugas frontliners yang terlibat dalam mengendalikan wabak penyakit COVID-19.

Pengagihan sumbangan pek makanan ini dibuat dalam tempoh dua (2) hari merangkumi empat (4) buah hospital iaitu Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta Hospital Sungai Buloh pada hari Khamis, 26 Mac 2020 manakala sebuah lagi hospital iaitu Hospital Shah Alam menerima sumbangan pek makanan ini pada hari Jumaat, 27 Mac 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DPMS, Encik Zaharudin Mohd Sanif berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat DPMS dalam membantu komuniti selain tanda penghargaan dan sokongan moral kepada petugas frontliners yang telah bertungkus-lumus mengendalikan kes-kes berkaitan wabak penyakit COVID-19 ini.

Zaharudin juga berkata bahawa pihak DPMS tampil menghulurkan sumbangan berupa pek makanan memandangkan petugas frontliners berhadapan dengan kekangan masa untuk makan dan menjalankan tugas. Melalui usaha ini pihak DPMS berharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan terutamanya petugas frontliners.

“Dalam saat yang getir ini, saya ingin menyeru supaya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memastikan wabak ini tidak merebak dengan lebih teruk. Rakyat Malaysia perlu lebih prihatin dan menurut saranan dan perintah kerajaan serta bersatu demi kesejahteraan kita bersama,” katanya.

Berita lanjut di : https://selangorkini.my/2020/03/de-palma-sumbang-makanan-kepada-empat-hospital-di-selangor/